KUALA LUMPUR:Kerajaan masih belum memutuskan harga tambang Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Singapura dan Malaysia, yang dijangka beroperasi pada awal 2027.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, harga tersebut akan ditentukan dengan mengambil kira pelaburan kerajaan dalam membina sistem rangkaian tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya memberi jaminan bahawa harga yang ditetapkan bersifat kompetitif.

"Kerajaan masih membuat kajian dan apa-apa harga yang ditawarkan adalah kompetitif sebab kita hendak mengalakkan orang ramai menggunakan rangkaian sistem tren terbaharu ini. 

"Harga tiket akan ada formula membuat pengiraan berdasarkan kepada pelaburan yang telah kita gunakan untuk membina sistem rangkaian kereta api ini.

"Bagaimanapun, seperti saya maklumkan harga akan kompetitif dan kita akan pastikan harga yang ditawarkan itu akan dapat menampung kos pelaburan kerajaan," katanya dalam sidang media secara maya, di Johor Bahru, hari ini.

Ditanya sama ada harga tersebut akan kekal, Isham berkata kerajaan akan memastikan rakyat mampu menggunakan sistem pengangkutan tersebut.

Pembinaan RTS Link fasa satu dijangka bermula pada Januari 2021 selama empat tahun membabitkan pembangunan dan struktur sivil.

BACA: Sultan Johor rasmi Majlis Pecah Tanah projek RTS secara maya

Projek yang menelan kos RM3.7 bilion itu dijangka mampu menampung 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan dengan maksimum 288,000 penumpang sehari.

Projek tersebut turut melibatkan pembinaan dua CIQ masing-masing di Bukit Chagar dan Woodlands di Singapura.